Wednesday 28 September 2011

NameWee : Wira atau Petualang Bangsa...

Terpanggil untuk turut bersama membahaskan isu Namewee dan 'Nasi Lemak 2.0'nya. Saya berpeluang menonton filem tersebut minggu lepas sebelum terbang pulang ke Dubai. Tergelak kecil saya apabila tiba di kaunter TGV KLCC sambil mulut laju menyebut 'Nasi Lemak, 2' seolah-olah memesan hidangan nasi lemak di gerai makan di waktu pagi. Teman saya si Datuk Tugu juga tertawa kecil.

Saya berusaha juga merebut kesempatan sebelum filem tersebut diharamkan sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. (Malaysia boleh, kan?)

Sinopsis Nasi Lemak 2.0 : Chef Huang (Wee Meng Chee) berdepan kesukaran untuk meneruskan perniagaan makanan miliknya kerana dia gagal menyediakan masakan tempatan yang diinginkan oleh para pelanggannya. Namun, bertentangan dengan masakan yang kurang popular, dia dikenali sebagai “Hero Huang” di kawasan kejiranannya. Cef Huang akan membantu komunitinya sehinggalah dia bertemu dengan Xiao K (Karen Kong) yang membuatkannya terjebak dalam masalah. Untuk membolehkan dia meneruskan kehidupan ini serta perniagaan restorannya. Cef Huang perlu mendapatkan bantuan daripada penjaja kedai wanita penuh misteri (Adibah Noor), yang mengarahkan dia agar memulakan satu pengembaraan yang hebat dalam kehidupannya. Ketika berdepan pengalaman yang bakal memberikan kesedaran pada dirinya, dia akan bertemu ramai “hero tempatan” yang memberikan sokongan kepadanya untuk menemui asal-usulnya serta erti sebenar yang tersembunyi dalam “nasi lemak.

Keseluruhannya filem tersebut adalah satu kritik sosial yang bagus dalam suasana Malaysia yang sudah berusia 54 tahun namun masih terkongkong dengan stigma perkauman yang serius.

Di layar Namewee kita melihat secara nyata dunia yang bernama Malaysia. Di situ ada nilai perkauman. Di situ ada isu tidak puas hati sesetengah pihak dengan golongan Melayu yang dianggap 'anak emas' bumi Malaysia. Namun di situ juga tertancap realiti, sekiranya Melayu itu anak emas di bumi Malaysia, kenapa masih menjaja di jalanan dan merempat di kampung? Sedangkan bangsa yang dianggap berada di kelas kedua dan ketiga dalam hirarki bangsa di Malaysia mempunyai konglomerat besar dan bercakap omputeh serta tinggal di luar negara?

Maka di mana sebenarnya nilai menjadi bumiputera di bumi Malaysia.

Maka untuk menjawab siapa Namewee sebenarnya, wirakah atau petualangkah, kita harus terlebih dahulu menetapkan kita berpihak kepada barisan atau pakatan, maka kemuadian tepuk dada dan tanyalah selera!

Kunci kejayaan yang cuba disebarkan ialah kerja keras, toleransi bangsa dan agama. Kita ini umpama nasi lemak, bercampur-baur rasa di dalamnya, namun nasi lemak juga menjadi pilihan kita. Kita satu bangsa satu negara, kita satu matlamat, kita satu Malaysia.


Itulah sebenarnya mesej yang cuba disampaikan. Sudah tiba masanya kita bangkit dari dakapan perkauman yang membelengu kita.

Yang menyedihkan bila ada juga orang yang tidak mahu melihat perpaduan ini menjadi kenyataan. Hakikatnya bila satu Malaysia menjadi kenyataan, maka kebergantungan kepada parti politik berasaskan bangsa yang mendokong pemerintahan demokrasi ala Malaysia selama 54 tahun ini menjadi satu artifak yang tidak lagi diperlukan.

Maka kita dijamu dengan berita-berita di media massa yang menembak membuta tuli kearah Namewee yang digelar tidak patriotik. Kerana mungkin 'keris' telah dikalahkan oleh HanTu Ya di dalam Nasi Lemak 2.0, namun 54 tahun adalah masa yang terlalu lama untuk khayal dengan pil ecstasy. Masanya sudah tiba untuk bangun dan mencari Wira Bangsa Malaysia yang  baru, yang tidak ‘racist’. Jom! Makan Nasi Lemak!



No comments:

Post a Comment